Majlis bacaan puisi anjuran bersama akhbar Utusan Malaysia, UKM dan Jabatan Pene­rangan itu merupakan acara tahunan yang memperkasakan bidang sastera tanah air.

Ketiga-tiga artis popular itu akan bersama-sama dengan barisan pemimpin negara, tokoh akademik dan penggiat sastera untuk memasyarakatkan budaya membaca dan menghargai puisi.

Bagi Tomok, sebagai seorang anak seni, dia terpanggil untuk sama-sama memeriahkan sambutan Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa kerana acara sedemikian adalah platform terbaik untuk mengajak rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda untuk menghargai kemerdekaan negara.

“Orang-orang seni juga ada caranya untuk menyatakan rasa kasih dan sayang pada negara. Saya memilih untuk bersama-sama Utusan Malaysia dan UKM menyertai malam gemilang pembacaan puisi ini dengan menghiburkan penonton.

“Saya berpendapat, acara-acara seperti ini harus diberi sokongan dan dihargai kerana tujuannya sangat murni iaitu untuk menterjemahkan rasa terima kasih kita kepada negara,” ujar Tomok, penyanyi yang pernah menempa kemasyhuran dengan kumpulan NewBoyz sekitar tahun 1990-an hingga 2000 itu lagi.

Aiman Tino dan Azharina juga sepakat dengan Tomok bahawa acara Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa merupakan wadah terbaik untuk menzahirkan rasa kebanggaan bagi setiap individu sebagai anak Malaysia.

Pada masa sama, usaha yang diambil oleh Utusan Malaysia, UKM dan Jabatan Penerangan disifatkan kedua-dua mereka sebagai pendekatan terbaik untuk mempopularkan puisi.

Justeru, penganjuran dalam skala besar seperti yang akan berlangsung di UKM pada Jumaat ini kata mereka, sangat tepat pada masanya.

Kedua-dua penyanyi popular itu turut berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dalam majlis yang akan bermula pada pukul 8 malam itu.

Kali ketiga diadakan, majlis bacaan puisi sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 itu akan menampilkan personaliti-personaliti tersohor mendeklamasikan puisi mengenai kemerdekaan negara.

Antara tokoh kenamaan negara yang telah mengesahkan bakal mendeklamasikan puisi pada malam itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak.

Turut mendeklamasikan puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, penyair Shukri Abdullah, Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan ramai lagi.