Dilaporkan petrol RON 91 akan dijual pada harga 1.37 riyal (RM1.48) seliter, meningkat daripada 0.75 riyal (RM0.81) seliter, sementara RON95 dijual pada harga 2.04 riyal (RM2.21) seliter iaitu meningkat daripada 0.90 riyal (RM0.98) seliter.

RON95 di negara itu sebelum ini juga telah dinaikkan daripada 0.60 riyal (RM) seliter kepada 0.90 riyal (RM0.98) pada 1 Janua­ri 2016.

Menurut laporan Reuters yang memetik berita daripada agensi tempatan Arab Saudi, negara itu dijangka menaikkan harga mi­nyaknya bermula hari ini selari dengan penstrukturan subsidi yang telah diumumkan dua tahun lalu untuk menambahkan pendapatan dan mengurangkan kebergantu­ngan terhadap sumber minyak.

Selain daripada peningkatan harga minyak, negara itu juga memulakan Cukai Nilai Tambah (VAT) persamaan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar lima peratus serta meningkatkan tarif elektriknya.

Pada 20 Disember lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud secara rasmi mengumumkan hasrat negara itu untuk mengurangkan lebihan perbelanjaan­nya dilewatkan kepada tahun 2023 daripada sasaran awal pada 2020, untuk mengurangkan tekanan terhadap ekonomi negaranya.

Tahun 2016, Arab Saudi telah melancarkan inisiatif menyeluruh untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam, menjadi negara kompetitif dan mahu meraih kekayaan dalam tempoh yang panjang, termasuk menerusi penstrukturan subsidinya.

Langkah yang sama turut diambil oleh jiran Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut memulakan GST pada bulan ini pada kadar lima peratus selain menaikkan harga RON95 daripada RM2.24 kepada RM2.36 seliter.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Timbalan Pe­ngarah Unit Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Eric See-To berkata, tidak seperti Malaysia, harga petrol di UAE dan Arab Saudi turut merangkumi GST kerana kedua-dua negara tersebut tidak mengecualikan bahan api itu daripada cukai.

“Dengan langkah yang diambil itu, harga petrol di Arab Saudi hampir menyamai harga di Malaysia manakala harga di UAE akan lebih mahal daripada kita.

“Tidak lama dahulu, dua negara itu mempunyai harga petrol lebih murah berbanding Malaysia kerana mereka mempunyai kadar pengeluaran minyak lebih tinggi daripada kita,” jelasnya.