Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abibullah Samsudin berkata, perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada rancangan kerjasama strategik antara Koperasi Yapeim Berhad (KYB) dengan Etiqa General Takaful Berhad (EGTB).

Beliau berkata, turut ditawarkan adalah takaful kemalangan diri dan beberapa polisi yang berkaitan antaranya perlindungan terhadap emas yang digadaikan oleh para pelanggan.

"Melalui kerjasama ini, Yapeim berharap dapat menyedarkan masyarakat serta menggalakkan mereka untuk bermuamalah melalui sistem kewangan Islam yang patuh syariah.

"Apabila terdapatnya perkhidmatan memperbaharui perlindungan takaful kenderaan di cawangan Ar Rahnu Yapeim, ia akan menjimatkan masa pelanggan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KYB dengan EGTB di Dataran Maybank, Bangsar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi KYB, Arshad Sian; Ketua Pegawai Eksekutif EGTB, Zaharudin Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad. - UTUSAN ONLINE