Aqasha atau Firdee Akassya Rosli berkata, meskipun perwatakannya agak pendiam namun dia yakin mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Bakal bersiaran selama 11 minggu, Aqasha memberitahu, dia menerima tawaran untuk mengemudi pertandingan nyanyian itu sebaik sahaja tamat menyertai Gegar Vaganza musim lalu.

“Walaupun karekter saya nampak pendiam dan tak banyak cakap, saya tetap sahut cabaran menjadi pengacara.

“Sementelah rakan pengacara saya, Misha Omar seorang yang ceria dan banyak cakap jadi saya rasa ini gandingan yang sempurna dan seimbang buat kami,” katanya.

Lahir daripada pencarian bakat Bintang RTM pada 1999, Aqasha mengakui, dia menerima tawaran itu kerana dia merupakan produk keluaran program tersebut.

“Menyanyi sudah, berlakon pun sudah... pengacaraan sahaja yang belum saya cuba. Apabila peluang sudah ada depan mata, tidak mungkin saya tolak.

“Lagipun RTM adalah tanah tumpah darah saya yang dicungkil bakatnya menerusi Bintang RTM 1999.

“Saya bangga dapat bersama-sama bakat-bakat baharu yang bertanding dalam program ini,” ujarnya.

Bintang RTM 2018 bersiaran setiap Sabtu secara langsung di TV2 pada pukul 8.30 malam. - UTUSAN ONLINE