Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya berkata, lori terlibat akan ditempatkan di APM Selangor (dua), Ibu pejabat APM (dua) dan masing-masing sebuah di Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kelantan.

Katanya, penyerahan lori itu merupakan sebahagian daripada 61 buah lori yang akan diterima pihaknya secara berperingkat sehingga Oktober ini khusus untuk menghadapi musim tengkujuh terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Setakat ini kita telah menerima 27 buah lori sejak Mei lalu dan penyerahan tersebut adalah sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memperkasakan agensi yang terlibat sebagai persediaan menghadapi bencana alam selain meningkatkan kadar keupayaan dan mobiliti APM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Operasi APM di Ibu Pejabat APM di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah APM setiap negeri.

Mengulas lanjut, Azmy memberitahu, APM kini dalam usaha memperkasa dan menambah aset-aset lain seperti bot penyelamat dan peralatan bagi memudahkan anggota penyelamat menjalankan tugas ketika bencana.

“Malah, pada penghujung tahun ini, dijangka keanggotaan APM akan bertambah kepada dua juta orang, maka, penekanan dari aspek kemahiran dan kecekapan anggota yang bertugas juga akan dipertingkatkan bagi mengendalikan aset-aset APM untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,700 anggota APM akan ditugaskan 24 jam sepanjang musim perayaan Aidil Fitri iaitu dari 22 hingga 24 Jun dan 27 hingga 29 Jun ini menerusi Ops Bantu bagi memberikan bantuan sekiranya berlaku kemalangan.

“Malah, pihak kami akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi dan kebarangkalian seperti kemalangan pada musim perayaan nanti,” katanya.