Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, teknologi itu yang diperkenalkan pada sesi konvokesyen kali ini melibatkan seramai 2,773 graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Beliau berkata, setiap sijil dilengkapi satu Kod QR yang unik bagi memastikan kesahihannya.

“Dengan imbasan daripada Kod QR itu, ia akan memaparkan gambar siswazah, nama penuh, program pengajian dan tahun anugerah.

“Kod QR itu sendiri menjadi satu rantaian rekod data ‘blockchain’ sulit yang mana ia menyimpan semua maklumat siswazah menggunakan teknologi ‘blockchain’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar memperkenalkan penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 UMP di kampus Gambang di sini hari ini.

Sebanyak 2,773 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen itu.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 63 penerima merupakan graduan kedoktoran, 172 orang (sarjana), 221 orang (sarjana eksekutif), 1,713 orang (sarjana muda), 40 orang (dwi­ijazah), 52 orang (ijazah sarjana muda eksekutif), 270 orang (diploma) dan 242 graduan diploma eksekutif membabitkan sembilan fakulti serta dua pusat pengajian.

Beliau turut mengumumkan seramai 28 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan universiti berkenaan atas pencapaian akademik, sumbangan khidmat komuniti serta dalam pelbagai bidang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sul­tan Ahmad Shah yang juga Canselor UMP dijadual ber­angkat mengurnia­kan ijazah dan anu­gerah kecemerlangan kepada gra­duan sidang pertama. 

Dalam pada itu, Daing Nasir berkata, konvokesyen kali ini juga menyaksikan buat pertama kali UMP memperkenalkan e-Book konvokesyen sebagai amalan hijau dan seiring dengan penggunaan teknologi.

“Ibu bapa, graduan, mahasiswa dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat pantas berkaitan dalam e-Book ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE