Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu bagi menjenamakan semula pasar tani yang selama ini hanya dilaksanakan secara tradisional di kawasan-kawasan setempat.

Menurut beliau, aplikasi itu bakal menjadi panduan kepada rakyat untuk mengetahui kedudukan dan keistimewaan sebanyak 986 pasar tani yang ada di negara ini.

“Sekarang ini pembangunan aplikasi itu sedang dalam peringkat akhir pelaksanaan dan kita jangkakan dapat dilancarkan Mac ini.

“Selain kedudukan dan keisti­mewaan pasar tani terlibat, aplikasi itu turut mengandungi antaranya harga semasa bara­ngan, peta lokasi, waktu operasi, penunjuk arah, gambar pasar tani serta ranking mata yang diperoleh pasar tadi berkenaan hasil undian pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah Pasar Tani Kekal Kampung Gajah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Tambah Ahmad Shabery, aplikasi tersebut turut memberi kelebihan kepada produk-produk istimewa sesebuah kawasan terutamanya makanan untuk dipromosikan lebih meluas dalam menarik pelancong.

“Kalau dulu orang kaitkan mercu tanda sesebuah kawasan dengan bangunan tinggi tapi bagi saya satu daripada mercu yang perlu dibina ialah makanannya melalui pasar tani yang kita ada.

“Sudah tiba masanya pasar tani dijenamakan. Inilah kelebihan aspek tradisi yang ada di negara kita yang boleh dilihat bukan hanya sebagai tempat berniaga untuk keperluan masyarakat tempatan tetapi menjadi sebahagian daripada produk pelanco­ngan,” katanya.

Kata Ahmad Shabery, ini ke­rana pasar tani turut mempamerkan kelebihan bukan sahaja dari segi kebersihan dan harga berpatutan, tapi produk istimewa yang ada di tempat berkenaan.