Hazman Shah Abdullah

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Dr. Hazman Shah Abdullah berkata, program yang ditawarkan oleh mana-mana IPTS yang mempunyai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan disenaraikan dalam laman web dan aplikasi yang dinyatakan itu.

Katanya, kemudahan di hujung jari itu diperkenalkan bagi memaklumkan kepada ibu bapa dan pelajar yang ingin memohon ke mana-mana IPTS mengenai status akreditasi 
setiap kursus atau jurusan yang ingin diikuti di kolej swasta pilihan.

“Kita mahu semua ibu bapa dan pelajar menyemak program ditawarkan terlebih dahulu sebelum memasuki IPTS tersebut. Kolej atau universiti yang mempunyai MQA akan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus memudahkan pelajar memohon pekerjaan selepas tamat pengajian kelak.

“Jika mereka (pelajar) memasuki kolej atau universiti yang tidak mempunyai MQA, mereka dinasihatkan supaya menyemak semula program yang ditawarkan. Jika didapati program itu tidak diiktiraf maka saya sarankan supaya pelajar terbabit tidak meneruskan pengajian. Meneruskan program tanpa akreditasi MQA seumpama membuang masa sahaja,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Jelasnya, ketika ini sebanyak 12,497 program mempunyai akreditasi MQA.

Sementara itu, Hazman turut menjelaskan, sains kemanusiaan merupakan program popular yang sering ditawarkan oleh kolej swasta kepada pelajar.

Menurutnya, bagi tujuan semakan, mereka perlu melayari laman web atau muat turun aplikasi di telefon ‘myMQR’.

“Setiap carian kolej dan program akan ditunjukkan serta-merta dan dijamin oleh pihak MQA. Semua pengguna boleh memastikan kesahihan program di kolej tersebut dengan kadar segera dan lebih mudah,” katanya.