Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, melalui aplikasi tersebut, rakyat boleh mendengar terus daripada mulut calon sendiri mengenai isu berkaitan PRU-14 dengan jelas dan nyata.

“Sepanjang waktu berkempen ini kita akan dengar banyak berita palsu yang ditokok tambah oleh pihak pembangkang bagi menjatuhkan dan memburuk-burukkan BN.

“Justeru, kami mengambil inisiatif ini untuk melancarkan aplikasi HebatkanNegaraku yang diharapkan dapat membantu pengundi menepis berita palsu selain memudahkan mereka mengenali lebih dekat calon-calon BN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari.

Semalam BN telah melancarkan aplikasi HebatkanNegaraku yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple Apps Store, yang membolehkan pengundi melihat dan mendengar aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua calon BN dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Imej 3D tersebut akan terpapar dan bercakap apabila kamera telefon pintar dihalakan ke arah poster pilihan raya BN yang memaparkan gambar Perdana Menteri dan calon parlimen kawasan masing-masing serta slogan Hebatkan Negaraku.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan memberitahu, aplikasi yang dilancarkan itu merupakan buah fikiran dan cetusan idea daripada Pengerusi BN yang berpendapat maklumat yang jelas perlu disampaikan dalam bentuk digital bertepatan dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Tambah beliau lagi, PRU-14 mencatat sejarah tersendiri apabila pertama kali menggunakan teknologi AR, Hibrid dan Hologram sepanjang kempen berlangsung dan berharap setiap calon BN mengambil kesempatan untuk mempromosikan aplikasi tersebut kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Kerja BN, Datuk Seri Abu Khamis berkata, aplikasi HebatkanNegaraku mampu menarik pengundi terutamanya pengundi muda kerana mereka dapat mengenali calon-calon BN di peringkat Parlimen melalui telefon pintar mereka menerusi satu butang klik sahaja.