Presiden APDAM, Datuk Dr. Clinton Chai berkata, beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan para wartawan yang hadir pada malam tersebut dan mengaku pihaknya cuai dalam penganjuran majlis itu.

“Saya selaku Presiden persatuan ingin memohon maaf kepada wartawan Muslim dan Hindu terlibat tempoh hari. Ini sebagai satu kecuaian. Saya ingin memohon maaf kepada semua,” katanya.

Beliau menyatakan permohonan maafnya itu serta menyerahkan surat permohonan maaf secara rasmi terhadap wartawan terlibat dalam satu sidang akhbar di hadapan beberapa wartawan mewakili agensi masing-masing di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kehormat APDAM, Chai Siong Siew; Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina Ketua Menteri Melaka, Tan Boon Siang; Yang Dipertua Kelab Media Massa Melaka (KEMM), Samat Majid dan Presiden Persatuan Wartawan Negeri Melaka (MJA), Choong Kion Sin.

Kelmarin, beberapa wartawan beragama Islam dan Hindu yang membuat liputan majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong di sini berasa amat terkilan atas sikap tidak sensitif penganjur yang menghidangkan daging babi tanpa memaklumkan perkara tersebut.

Majlis yang dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, ahli-ahli dewan undangan negeri serta beberapa tetamu kehormat itu gagal dikelolakan dengan baik di mana pihak penganjur tidak menyediakan meja khas untuk makanan halal kepada wartawan beragama Islam.

Sementara itu, Siong Siew menjelaskan, pihak persatuan telah menyediakan lima meja dengan hidangan makanan halal bersebelahan pentas pada malam tersebut, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak media yang dijemput.

“Kita sangka hanya tiga wakil media (akhbar berbahasa Cina) yang akan hadir pada malam itu. Di meja hadapan, kita memang menyediakan makanan halal kepada tetamu Muslim dan Hindu bersama beberapa tetamu jemputan yang lain.

“Semua tetamu khas kita jemput ke meja halal. Kita telah cuai pada malam itu sehingga terjadinya isu ini. Kami ingin memohon maaf atas berlakunya isu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Samat menasihatkan kepada persatuan tersebut supaya lebih peka dan menjaga sensitiviti masyarakat berbilang bangsa dalam majlis rasmi, lebih-lebih lagi program yang dihadiri pemimpin peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Sekiranya boleh, dalam program rasmi tidak perlulah penganjur mengadakan dua hidangan daripada pihak katering berbeza kerana selagi boleh, kita kekalkan budaya kita dan itu lebih baik. Kami menerima permohonan maaf APDAM dan berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE