Namun begitu, ia berlaku dalam era Malaysia baharu apabila hanya beberapa jam selepas teks ucapan Timbalan Perdana Menteri dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dalam Majlis Pelancaran Meningkatkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG), semalam, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tampil memberi penjelasan teks ucapan itu bukan datang daripada pihaknya.

WAN AZIZAH
WAN AZIZAH 

Dr. Wan Azizah juga memberitahu, tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk membacakan teks ucapan itu sedangkan pada awalnya Mohd. Rashid yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa hadir ke majlis berkenaan mewakili Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusi Eksekutif Xiddig Cellular Communications Sdn. Bhd. (Xiddig), Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim iaitu syarikat telekomunikasi yang menganjurkan majlis tersebut pula mempersoalkan kenyataan pejabat Timbalan Perdana Menteri, malah mendakwa Setiausaha Politik Dr. Wan Azizah sendiri, Romli Ishak yang memberi kebenaran menggunakan teks ucapan itu.

Dakwaan itu segera dinafikan Romli yang menegaskan tidak tahu-menahu kehadiran Mohd. Rashid dalam majlis tersebut apatah lagi mewakili Timbalan Perdana Menteri membacakan ucapan.

Walau bagaimanapun, Abdul Rashid ketika dihubungi Utusan Malaysia pula memberitahu, segala yang berlaku hanya salah faham dan akan mengadakan pertemuan dengan Dr. Wan Azizah dalam masa terdekat bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

“Saya telah menghubungi pihak Dr. Wan Azizah untuk menetapkan masa yang sesuai bagi mengadakan pertemuan dalam masa terdekat. Mungkin selepas itu kami juga akan melakukan sidang akhbar bagi memberi penjelasan,” katanya di sini hari ini.

MOHD. RASHID
MOHD. RASHID 

Kenyataan terbaharu daripada Abdul Rashid ternyata memberi petanda bahawa Xiddig mahu perkara itu diselesaikan dengan baik, namun persoalan utama adalah apa sebenarnya yang berlaku?

Mengapa pada awalnya Xiddig mendakwa telah menerima kebenaran untuk menggunakan teks ucapan berkenaan? Komen-komen awal yang diberikan pihak-pihak terlibat telah me­nimbulkan pelbagai persoalan.

Diharapkan insiden ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak lebih-lebih lagi perkara apa yang berlaku boleh menjejaskan kredibiliti Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan pelbagai isu sering me­landa kerajaan ketika ini.

Walaupun nampak remeh tetapi kata-kata seorang yang bergelar Timbalan Perdana Men­teri sememangnya membawa makna yang cukup besar. Perkara sebegini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, Dr. Wan Azizah ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Penduduk Kampung Keledek, Cameron Highlands, hari ini memberitahu, per­kara itu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, jika beliau tidak ha­dir ke majlis itu, tidak sepatutnya teks ucapan tersebut dibaca oleh orang lain.