Entah di mana silapnya amalan suci itu dianggap sebagai tidak baik, mempunyai niat tersembunyi atau menabur dedak sedangkan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur adalah keperluan semua rakyat di setiap negara selain hal itu juga menjadi bukti sikap ambil berat sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan bernilai RM1.3 bilion bagi lima projek infrastruktur di Langkawi, Kedah menerusi peruntukan Rolling Plan Ketiga (PR3) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan langkah itu turut diperkatakan selain menjadi bahan politik parti pembangkang.

Pengumuman itu paling menjentik hati Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa peruntukan tersebut sebagai janji palsu.

Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu mendakwa, janji yang dibuat itu tidak boleh ditunaikan sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, namun itu merupakan dakwaannya sahaja dan hal itu berbeza dengan realiti yang dinikmati rakyat sehingga kini.

Dalam hal ini, Dr. Mahathir ternyata cuba membandingkan era pemerintahannya yang kurang memberi dengan zaman Najib yang pemurah sedangkan bekas Perdana Menteri itu terlupa bahawa setiap tampuk pemerintahan memiliki ciri dan pendekatan yang berbeza.

Malah, menjadi pemurah adalah dituntut dalam agama Islam dan menjadi dermawan merupakan satu sifat mukmin sejati sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Seorang mukmin adalah orang yang mulia lagi pemurah dan orang fasik adalah penipu dan tercela.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Bercakap mengenai kerajaan di negara ini yang pemurah, dunia turut mengiktiraf sikap pemurah Malaysia menerusi pemberian BR1M. Dua tahun lalu, sekumpulan tokoh ekonomi ter­kemuka Britain mencadangkan kepada bank pusat negara itu supaya melaksanakan pemberian bantuan tunai (seperti BR1M) bagi mengatasi kelembapan ekonomi berbanding melaksanakan pemotongan kadar faedah.

Portal berita The Guardian melaporkan 35 pakar ekonomi termasuk Lord Robert Skidelsky dan Herman Daly telah menulis surat mencadangkan kepada Chancellor of the Exchequer, Philip Hammond yang bertaraf Menteri Kewangan Britain supaya bank pusat negara itu dibenarkan menjana dana untuk projek-projek infrastruktur utama termasuk melaksanakan inisiatif potongan cukai ataupun pembayaran tunai kepada isi rumah rakyat jelatanya.

Malah, di negara jiran, Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat pada 19 Februari lalu mengumumkan lebihan atau surplus daripada Bajet 2017 negara itu di Parlimen yang mendorong kerajaan untuk memberi angpau atau bonus kepada seluruh warganegaranya dengan pemberian sehingga SGD$300 (RM887.5) bagi setiap orang.

BR1M di negara ini mula diperkenalkan Perdana Menteri pada 2012 sebagai salah satu langkah kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah dan pada masa sama sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.