Siti Azura Bahadin

Menurut Pensyarah Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin (gambar), tindakan wajar perlu diambil seorang isteri sebaik sahaja mengetahui suaminya berkahwin dua.

“Pertama, bertenang dan jangan bertindak atas amarah. Walaupun berang dengan kesalahan suami, ambil masa untuk duduk semeja secara bersendirian. Kemudian, bincang dengan suami atau wanita dikahwininya secara baik untuk lebih jelas dengan situasi sebenar.

“Jika keadaan bertukar tegang dan tiada penyelesaian dicapai, rujuk pejabat agama untuk bantuan sesi kaunseling, pegawai berkaitan boleh membantu dan memberi bimbingan mengurangkan konflik serta meleraikan kebuntuan pasangan,” katanya.

Siti Azura menambah, penceraian bukan penyelesaian dan seharusnya dielakkan daripada menjadi pilihan untuk menyelesaikan masalah dihadapi akibat poligami.

Katanya, isteri perlu berfikir sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan secara melulu.

“Sebagaimana kita faham poligami tidak haram jika suami memenuhi syarat ditetapkan Islam. Oleh itu, elakkan penceraian dalam rumah tangga kerana itu adalah seburuk-buruk pengakhiran.

“Pada masa sama, bincang masalah dihadapi dengan sahabat yang mempunyai ilmu serta pengalaman dalam situasi sama supaya hati kita tenang,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kesepakatan dan persetujuan penting supaya si suami mampu melaksanakan tanggungjawab seperti tuntutan nafkah, bilangan hari bersama serta menyediakan keperluan lain bagi menjamin keharmonian rumah tangga berkekalan.