Bukanlah ia tidak disambut sebelum ini, tetapi tidaklah sebegini riuh dan kebiasaannya dibuat di tempat tertutup. Cuma kali ini, entah apa semangat yang meresap dalam jiwa Suhakam sehingga memutuskan sambutan secara terbuka di Padang Timur, Petaling Jaya.

Motif Suhakam perlu dipersoalkan kerana pada hari yang sama, perhimpunan besar-besaran #DaulatHimpunan812 juga turut diadakan di Dataran Merdeka. Mengapa sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang sepatutnya pada 10 Disember diawalkan dan formatnya juga berubah, dari kawasan tertutup kepada perhimpunan terbuka?

Yang dirisaukan, keadaan dua perhimpunan dilaksanakan serentak ini akan memburukkan imej negara. Dua pihak yang tidak sependapat mengadakan dua perhimpunan berbeza dalam satu bandar yang sama, pada waktu yang sama.

Kita bukan tidak tahu pendirian Suhakam tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Suhakam secara jelas menzahirkan rasa kecewa apabila kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD.

Adakah ini satu bentuk protes oleh Suhakam terhadap keputusan kerajaan atau satu bentuk provokasi terhadap penganjuran #DaulatHimpunan812?

Dalam Malaysia Baharu, rakyat perlu bebas menyuarakan pendapat dan menzahirkan perasaan. Itu yang ingin dilakukan oleh penganjur dan para peserta perhimpunan #DaulatHimpunan812.

Kita tidak perlukan satu lagi perhimpunan serentak yang hanya memaparkan perpecahan dalam kalangan rakyat. 

Sebaiknya Suhakam beralah dan beri laluan kepada perhimpunan #DaulatHimpunan812 yang lebih besar. Tiada salahnya kerana perhimpunan #DaulatHimpunan812 juga mahu menegakkan hak asasi manusia, malah lebih baik kerana ia hak asasi manusia mengikut acuan Malaysia. - UTUSAN ONLINE