SULAIMAN MAHBOB
SULAIMAN MAHBOB

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan mengumumkan pelantikan Azhar menjawat jawatan itu menggantikan Tan Sri Sulaiman Mahbob yang memangku jawatan itu.

Sulaiman dilantik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebelum ini.

Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, pelantikan Azhar yang merupakan bekas Pengarah Urusan Malakoff Corporation Berhad berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun, lembaga pe­ngarah FGV yang masih dipimpin Sulaiman sebaliknya seakan-akan ingin ‘bermain api’ apabila mengeluarkan kenyataan menafikan pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ahli lembaga pengarah FGV menyatakan, sehingga pukul 5.30 petang semalam, setiausaha syarikat itu belum menerima sebarang pemberitahuan bertulis daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan) me­ngenai pelantikan Azhar.

Sehubungan itu, FGV masih mengganggap Sulaiman merupakan Pemangku Pengerusi syarikat itu sehingga mereka menerima pemakluman rasmi mengenai­nya.

Tidak diketahui apakah motif sebenar ahli lembaga pengarah FGV itu mengeluarkan kenyataan sedemikian walaupun mereka menyedari bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa melantik sesiapa sahaja sebagai pengerusi syarikat tersebut.

Najib membuat pengumuman itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Hak Pemegang Saham Khas menerusi Artikel (80) 1 Memorandum dan Articles of Association FGV.

Persoalannya, siapakah yang mengarahkan FGV mengeluarkan makluman sedemikian rupa kepada Bursa Malaysia? Adakah Sulaiman mengetahui perkara tersebut dan merestuinya?

Jika demikian, apakah motif sebenar Pengerusi Telekom Malaysia Berhad itu mahu menimbulkan konflik baharu dengan pejabat Perdana Menteri itu?

Walaupuan ada pihak se­perti Suara Generasi Kedua Felda yang meragui integriti Sulaiman sebelum ini dan memintanya meletak jawatan, tetapi beliau tidak seharusnya terkesan dengan perkara seperti itu dan seterus­nya membuatkan tindakan yang kelihatan seperti ‘membakar jambatan’ de­ngan majikan sendiri.