Ini sesuatu yang pelik daripada Dr. Mahathir kerana jika menyusuri corak kepemimpinan beliau ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, kesilapan yang dilakukan sehingga menjejaskan imej kerajaan tadbirannya dianggap sebagai satu `dosa besar’.


Dr. Mahathir tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya. Ini sekali gus menyuntik rasa `seram’ dalam kalangan menteri Kabinet serta penjawat awam untuk melakukan sebarang kesilapan, apatah lagi `bermusuh’ dengan rakyat.


Namun, perkara itu tidak berlaku hari ini, apabila Dr. Mahathir setakat artikel ini ditulis masih belum membuat keputusan sama ada mahu menggugurkan Waytha Moorthy atau tidak, meskipun kemarahan rakyat semakin memuncak terhadap pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu.


Desakan bukan hanya dalam kalangan pihak pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, tetapi juga daripada `anak-anak buah’ Dr. Mahathir iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang sehingga ke tahap menghantar memorandum mendesak supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan.


Tindakan Armada yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu nampaknya lebih rasional dan melihat isu ini telah memberi kesan negatif kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Hakikatnya Dr. Mahathir tidak perlu teragak-agak untuk membuat keputusan kerana Waytha Moorthy bukanlah sebahagian daripada kepemimpinan PH dan tiada kaitan pun dengan parti itu. Waytha Moorthy merupakan pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Jadi tiada isu pun keputusan menggugurkan Waytha Moorthy itu akan memberi kesan kepada hubungan dalam kalangan kepemimpinan PH. Buatlah keputusan segera wahai Perdana Menteri, jangan sampai rakyat muak dengan kerajaan PH.


Bagi Waytha Moorthy pula, biar pun Dr. Mahathir belum membuat sebarang keputusan, namun sebagai seorang pemimpin, beliau seharusnya memahami desakan yang disuarakan kebanyakkan rakyat dan meletak jawatan dengan sendirinya.


Beliau telah diberikan layanan yang baik oleh Dr. Mahathir sehingga dilantik menjadi Senator, diberi peluang memegang jawatan menteri penuh menjaga portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial. Ini dilihat sebagai `sumbangan’ Dr. Mahathir untuk memadam skeptikal rakyat terhadap Waytah Moorthy yang didakwa memperjuangkan satu kaum sahaja. 


Lagi pun, Waytha Moorthy bukan tidak pernah melakukannya, pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN), beliau telah meletak jawatan sebagai Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Apa salahnya melakukannya sekali lagi, jadilah seorang yang berjiwa besar, letaklah jawatan segera. - UTUSAN ONLINE