Masalah kali ini datang ketika ‘lelah’ penduduk memunggah air pada 24 hingga 26 Januari lalu akibat isu serupa masih lagi tersisa dan tambah mendukacitakan, ia berlaku hanya berselang tidak sampai dua bulan, menjadikan sudah dua kali dalam tahun 2018, bekalan air terputus di Lembah Klang.

Lebih memalukan, ia berlaku di Selangor, sebuah negeri pa­ling kaya di Malaysia. Sepatutnya, isu gangguan bekalan air ini tidak perlu wujud lagi kerana semua infrastruktur sudah tersedia tetapi kenapa ia tidak kunjung selesai? Salahkah jika ada pihak mengatakan ia berpunca daripada kerajaan negeri?

Seperti sebelum ini, kesan terputus bekalan air kali ini bukan sahaja menjejaskan penduduk tetapi juga meliputi para peniaga sehingga ada pinggang dan mang­kuk mereka tidak dapat dicuci. Begitu juga dengan premis-premis kerajaan dan sekolah terutama membabitkan aspek tandas.

Lalu terbit persoalan, apa ada pada pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang begitu dibangga-banggakan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jika hampir saban bulan, berjuta rakyat di Sela­ngor serta Lembah Klang terpaksa beratur dan memunggah air demi keperluan harian?

Pada masa yang sama, timbul juga rasa hairan apa sebenar­nya jalan penyelesaian kepada masalah ini yang mahu dilakukan Mohamed Azmin, kerana beliau dan kerajaan negeri pimpinannya seperti tidak kisah dan tidak mengambil peduli hal ini walaupun sudah banyak desakan dibuat oleh rakyat sendiri.

Sehingga kini tiada langkah penyelesaian konkrit diambil Mohamed Azmin kecuali ‘me­nyanyikan’ lagu lama setiap kali dipersoalkan iaitu dengan me­nuding jari menyalahkan pihak lain atas kelemahan pentadbirannya, termasuk menjadikan kegagalan rundingan penyusunan semula aset air sebagai alasan.

Sedangkan semua tahu, isu pokok kepada masalah air di Se­langor dan Lembah Klang adalah disebabkan sikap kerajaan negeri mempolitikkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sehingga menyaksikan penduduk di negeri ini dan Kuala Lumpur perlu berhadapan gangguan bekalan air secara berterusan sehingga 2022.

Justeru kepada Mohamed Azmin, daripada beliau menuding jari menuduh pihak lain kononnya mempolitikkan isu air, beliau sepatutnya sedar masalah itu berpunca daripada sikap kepemimpinannya dan di pihak rakyat pula, sampai bila kita mahu menanggung kepayahan hanya kerana kelemahan pihak lain.