Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Anzalna, Prof. Madya Dr. Md. Nasir Ibrahim sambil disaksikan, Pendaftar Perkahwinan dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Abdul Nasir Abdullah di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna yang kelihatan anggun menggayakan busana rekaan Rizalman itu menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 selain tujuh dulang hantaran termasuk beg tangan, tepak sirih, telefon bimbit, cincin, set telekung, gelang tangan dan wang hantaran yang dirahsiakan nilainya.

Sebagai balasan, pihak pengantin perempuan memberikan sembilan dulang hantaran antaranya jam tangan, cek, coklat, barangan elektronik, sirih junjung, cincin dan sejadah.

Majlis yang diadakan serba ringkas tetapi meriah itu turut dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada kaum keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.

Rakan artis yang turut hadir termasuklah Fathia Latiff dan Hisyam Hamid.

Kedua-dua mempelai yang ditemui dalam sidang akhbar selepas majlis pernikahan itu memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana semuanya berjalan seperti yang dirancang.

“Selepas 10 tahun memang saya bersyukur sangat untuk disatukan dengan seorang lelaki yang pada saya cukup sempurna.

“Tentunya selepas ini saya sendiri sebenarnya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri,” kata Anzalna.

Sementara itu Hanif mendedahkan mereka bakal berbulan madu di sebuah pulau.

“Kami juga berhasrat menunaikan umrah bersama keluarga pada tahun ini,” katanya.

Majlis resepsi pasangan pengantin ini akan berlangsung di Hotel Grand Hyatt pada 27 Februari ini.