Menerusi catatan dalam akaun Facebook miliknya, Anwar yang turut bersedih dengan pemergian pengasas Kumpulan Orkes Nirwana itu turut berkongsi gambar ketika bertemu dengan A. Rahman di Port Dickson, April lalu.

“Saya berkesempatan bertemu Allahyarham ketika beliau menghadiri program Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Port Dickson pada 21 April lalu.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya hari ini.

 

A. Rahman yang ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.38 tengah malam tadi akibat komplikasi paru-paru.

Penyanyi veteran ternama itu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang amat tenang di samping isteri, Datin Fadilah Mansor dan dua orang anaknya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mengapa itu telah dikejarkan ke hospital pada 2 Jun lalu selepas mengadu sesak nafas.

Difahamkan, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) itu mengalami kesukaran bernafas dan ditahan dalam bilik rawatan selama 12 jam dan dibenarkan pulang sehari sebelum menjelang Syawal.

A. Rahman meninggalkan tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, hasil perkahwinannya dengan Datin Azizah Mohamad, juga penyanyi era 60-an yang meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat kanser.

Beliau berkahwin dengan pelakon Fadilah Mansor, 59, pada 25 Disember 2014 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - UTUSAN ONLINE