Ketua Umum PKR itu yang tiba kira-kira pada pukul 9.40 malam di Dataran Petaling Jaya dekat sini disambut kira-kira 3,000 penyokong yang menanti beliau sejak pukul 5.30 petang tadi.

Terdahulu, rata-rata penyokong Anwar yang membawa bendera PKR turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bagi meraikan kedatangan Ramadan yang disambut esok.


Anwar diringi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak mereka termasuk Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar dibebaskan dari hukuman penjara hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara, tengah hari tadi.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau komited menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menerajui kerajaan baharu yang dibentuk oleh Pakatan Harapan.

Katanya, Pakatan Harapan perlu memberi kepercayaan, keyakinan dan persepsi baik kepada rakyat bahawa muafakat dalam kerajaan baharu sukar untuk digugat.

"Saya tidak akan sokong Dr. Mahathir jika saya tidak yakin dia akan perubahan ke arah kebaikan negara kita.

"Jadi, kita harus memberi masa dan menghormati kepemimpinan Dr. Mahathir, Wan Azizah serta barisan Kabinet yang akan dilantik untuk membawa perubahan kepada rakyat," katanya.

Anwar turut meminta rakyat menjadi pemantau terhadap wakil rakyat yang dipilih. - UTUSAN ONLINE