Menurutnya, langkah itu harus dipuji dan merupakan cerminan manifestasi New Zealand di bawah teraju Perdana Menteri, Jacinda Ardern yang terus teguh menyokong masyarakat Islam.

“Saya terharu dengan perkembangan hari ini di New Zealand yang menjalankan sesi tafakur selama dua minit dan menyiarkan seruan azan secara langsung di saluran televisyen dan radio nasional negara itu.

“Komitmen ini sangat penting bukan sahaja kepada New Zealand tetapi isyarat penting kepada seluruh kepimpinan masyarakat antarabangsa ke arah memelihara keamanan dan kesentosaan sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, insiden tembakan rambang Jumaat lepas menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk memelihara kedamaian dan tidak sesekali mendukung kebencian yang memecah belah.

“Islam mengajak kita meraikan perbedaan. Agama Islam dan penganutnya tidak wajar dimusuhi kerana ajaran Islam mengajak semua menghormati antara satu dengan yang lain.

“Genap seminggu selepas tragedi hitam kemanusiaan di Christchurch, tiada kata dapat menzahirkan apa yang dirasai ahli keluarga mangsa korban.

“Doa dan ingatan saya akan terus bersama ahli keluarga, moga terus cekal menempuh detik ini,” katanya.

Hari ini genap seminggu kejadian serangan rambang di dua buah masjid di Christchurch yang turut meragut 50 nyawa termasuk rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi. - UTUSAN ONLINE