Bakal Perdana Menteri kelapan itu berkata, langkah tersebut penting bagi mengelak timbulnya persepsi bahawa kaedah pembayaran pinjaman PTPTN di bawah Kerajaan Pakatan Harapan adalah lebih teruk berbanding kerajaan terdahulu.

“Saya ucap terima kasih kepada menteri dan Kementerian Pendidikan yang sanggup menangguhkan perlaksanaan skim tersebut selepas mengambil kira bantahan dan keresahan daripada peminjam,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen Pakatan Harapan Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; barisan kepemimpinan Pakatan Harapan negeri dan lebih 700 perwakilan membabitkan parti-parti komponen gabungan itu.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini membuat keputusan menangguhkan buat sementara waktu perlaksanaan PGB terhadap peminjam PTPTN.

Maszlee dilaporkan berkata, langkah penangguhan itu diambil buat sementara waktu sehingga pihaknya menerima input dan maklum balas kolektif daripada pihak berkepentingan.

Rabu lalu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan skim potongan bulanan baharu bagi peminjam dengan gaji RM2,000 ke atas, mulai 1 Januari 2019.

Potongan tersebut akan melibatkan antara dua peratus hingga 15 peratus daripada gaji peminjam.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi negatif termasuk dalam kalangan pemimpin dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut perkara tersebut ketika sidang akhbar, Anwar berkata, mengikut perkiraan di dalam mekanisme tersebut, didapati peminjam perlu membayar lebih berbanding dahulu.

“Saya lihat langkah penangguhan itu cukup baik selepas melihat bantahan daripada rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE