Ujar Anwar, beliau mempercayai Ahli Parlimen Langkawi itu dan tiada sebab untuknya mempersoalkan perkara tersebut.

“Saya percayakannya dan tiada sebab untuk saya persoal. Selagi saya terus mempunyai hubungan baik dengannya, tidak mengapa,” katanya sambil mengakui terdapat pihak yang cuba melaga-lagakan dengan Dr. Mahathir atas sebab peribadi.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara seperti disiarkan Nikkei Asian Review, hari ini.

Sementara itu, Anwar memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk mengganggu pentadbiran Dr. Mahathir selepas menjadi ahli Parlimen kelak.

Sebaliknya, beliau berkata akan memainkan lebih peranan semak dan imbang terhadap reformasi institusi kerajaan.

“Saya berhasrat untuk berada di Parlimen yang paling terdekat pada Oktober ini melalui pilihan raya kecil.

“Keputusan untuk aktif dalam Parlimen adalah strategik dalam aspek tiada yang membuat tanggapan bahawa saya cuba mengganggu dan menyukarkan Dr. Mahathir,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang reformasi oleh kerajaan, bakal Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu dasar keistimewaan bumiputera di negara ini dikembalikan kepada tujuan asal iaitu untuk membasmi kemiskinan.

“Dasar itu yang berasaskan kaum dan (telah) untuk memperkayakan kroni perlu dihentikan.

“Dasar yang membantu golongan terpinggir, minoriti dan bumiputera yang ketinggalan tidak akan terus sebagai sebuah dasar bumiputera tetapi sebagai tindakan afirmatif,” katanya. - UTUSAN ONLINE