Ketika kali terakhir anugerah berprestij tersebut dianjurkan empat tahun lalu, penulis novel dan ahli akademik, Fatimah Busu dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Kelantan 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Perpa­duan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, Kelantan memiliki ramai sasterawan serta karyawan dise­gani di seluruh pelosok tanah air sehingga negeri ini digelar sebagai ‘lubuk penulis’.

Perkara itu kata beliau, amat membanggakan Kelantan dan ke­­­rajaan negeri berhasrat mahu mem­beri pengiktirafan sewajar­nya kepada golongan tersebut.

“Kita pernah bekerjasama de­ngan DBP dan berjaya menganjurkan Anugerah Sastera Negeri Kelantan pada 2015 dan kita tidak mahu bidang sastera ini terpisah dari kemajuan yang melanda dunia global hari ini.

“Kalau tidak ada apa-apa hala­ngan, kerajaan negeri sedia berbincang dengan pihak DBP untuk mewujudkan sekali lagi anugerah sedemikian pada tahun ini, jika dipersetujui ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bicara Editor: Bersama Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (Gema) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan DBP Wilayah Timur, di sini hari ini.

Mingguan Malaysia diwakili Penolong Pengarangnya, Rozaman Ismail manakala Dewan Sastera diwakili Pengarangnya, Zaharanum Kamarudin.

Yang turut hadir, Ketua Satu Gema merangkap Naib Presiden Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Zainal Abidin Muhamad; Pengarah Kebudayaan dan Ke­senian Negara (JKKN) Kelantan, Mohamad Raizuli Mat Jusoh dan Ketua Unit Sastera DBP Wilayah Pantai Timur, Muhamad Ikhram Husin.