Anugerah itu merupakan anugerah khas yang diberikan kepada jabatan atau agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang cemerlang dalam aspek inovasi, pengurusan serta penglibatan sosial dan sukan secara keseluruhan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Roslan Wahab berkata, anugerah itu merupakan satu pengiktirafan yang bermakna buat warga APM selepas bertungkus lumus dalam menjayakan tugasan yang telah diamanahkan.

“Tahun ini merupakan tahun bertuah APM selepas mendapat pelbagai pengiktirafan, terbaharu Anuge­rah Perdana HIK JPM 2018. Terima kasih kepada JPM yang yang memberi penilaian terbaik kepada APM untuk anugerah ini.

“Selepas ini, APM akan ber­depan cabaran yang lebih hebat namun, saya yakin warga APM mampu mendepaninya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rak­yat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anugerah Perdana yang berupa piala pusingan dan sijil itu telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dalam majlis sambutan HIK JPM 2018 yang dianjurkan di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri di sini.

Menurut Roslan, APM dipilih selaku penerima Anugerah Perdana selepas berjaya menduduki tempat pertama dan kedua bagi Anugerah Inovasi bagi kategori bukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Tempat pertama dimenangi oleh APM Daerah Tawau, Sabah melalui projek Multi Flexible Rescue Stretcher manakala tempat kedua dimenangi oleh APM Johor melalui projek Public Warming System Flood Monitoring.

“Kejayaan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai seba­nyak RM5,000 dan RM3,000 beserta sijil penyertaan yang juga disampaikan oleh Ketua Setia­usaha Negara,” katanya.

Selain itu katanya, sempena penganjuran HIK JPM 2018, APM turut dinobatkan sebagai jabatan paling inovatif dan peneraju e-perolehan, sekali gus membawa pulang ha­diah berupa trofi dan juga sijil pe­nyertaan,” katanya.