Anugerah dwitahunan itu diadakan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para penggiat industri pelanco­ngan tempatan dan antarabangsa atas sumbangan serta pencapaian cemerlang mereka dalam pembangunan produk-produk dan perkhidmatan pelancongan tempatan yang inovatif.

APM buat pertama kalinya dianjurkan pada tahun 1987 oleh Perbadanan Kemajuan Pelanco­ngan Malaysia (TDC) pada ketika itu sehingga tertubuhnya lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) pada tahun 1994.APM edisi 2016/2017 ini telah menerima sebanyak 665 pencalonan terdiri daripada 14 kategori dan 52 subkategori yang dipertandingkan melalui pencalonan terbuka.

Selain itu, APM kali ini turut memperkenalkan beberapa per­ubahan bagi memberi gambaran yang lebih baik terhadap landskap industri pelancongan global yang terkini menerusi beberapa penambahbaikan seperti kategori Pusat Hiburan Terbaik, Rencana Pelancongan Terbaik, Syarikat Penerbangan Terbaik dan Terbitan Dokumentari dan Iklan TV Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia.

Buat julung-julung kalinya juga, orang awam turut dijemput untuk membuat pencalonan umum dengan memuat turun borang pencalonan dan mengemukakan borang tersebut kepada sekreta­riat APM 2016/2017.

Bagi penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Individu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan besar kepada industri pelancongan Melaka yang telah menyumbang sebanyak 45.9 pe­ratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

“Pada tahun lepas, dengan segala usaha dan kerja keras yang telah dilaksanakan, Melaka berjaya menggamit sejumlah 16.79 (16,794,468) juta pelancong melepasi sasaran 16.75 juta pelancong iaitu peningkatan sebanyak 3.15 peratus atau 512,387 orang berbanding pada tahun 2016.

“Kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada badan-badan yang telah mengiktiraf Melaka kerana meskipun negeri ini kecil, namun sentiasa mendapat perhatian badan pelancongan dunia. Semua kejayaan ini meletakkan Melaka setanding destinasi pelancongan popular lain di Malaysia, Asia mahupun seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Berkongsi dengan lebih lanjut mengenai hala tuju strategik untuk memaksimumkan potensi industri pelancongan negeri Melaka, Idris berkata, dalam fasa kedua Melaka Maju, kerajaan negeri menggariskan beberapa pendekatan hala tuju strategik bagi memajukan sektor pelancongan.

“Sasaran utama ialah mencapai angka 20 juta pelancong menjelang tahun 2020 dan ini adalah inisiatif awal ke arah mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020. Usaha ini akan dipergiatkan de­ngan penganjuran pelbagai acara pelancongan yang boleh menarik pelancong ke negeri Melaka.

“Sebagai contoh, pada tahun ini, Melaka telah menyenaraikan sebanyak 120 acara pelancongan dengan 10 acara pelancongan utama akan dilaksanakan sepanjang tahun. Antaranya, Sambutan Me­laka Bandaraya Bersejarah, Karnival Makan-makan Melaka 2018 dan ­Fiesta Melaka 2018,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, jika dilihat kepada trend kehadiran pelancong, sebanyak 38.7 peratus pelancong gemar melawat tempat bersejarah dan sebanyak 13 peratus memilih pusat beli-belah utama di negeri itu.

“Oleh itu, kerajaan negeri percaya produk-produk pelanco­ngan ini perlu menepati kehendak dan keperluan pelanggan. Negeri Melaka memerlukan pakej dan akti­viti pelancongan baharu yang lebih kreatif dan bernafas segar sesuai dengan trend pelancong muda yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Organisasi, Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, anugerah yang diterima menunjukkan bahawa inisiatif-inisiatif organisasi itu adalah selaras dengan cita-cita negara dan ia akan menjadi dorongan kepada Sunway untuk terus menyumbang ke arah kejayaan dan kemajuan industri pelancongan yang lebih mampan.

“Antara kejayaan besar Kumpulan Sunway, adalah memiliki model perniagaan yang mampan dengan membina dan mengendalikan bandar-bandar bersepadu dan pembangunan-pembangunan infrastruktur milik kami sendiri.

“Sejak lebih 43 tahun dahulu, kami telah membangunkan beberapa bandar bersepadu terma­suk Sunway City di Selangor, Sunway City Ipoh, Sunway Penang dan Sunway Iskandar di Johor.

“Bandar-bandar bersepadu ini berfungsi sebagai destinasi pelancongan yang menjana nilai apabila setiap bandar tersebut memiliki komponen-komponen yang bersinergi dalam bidang kesihatan, pendidikan, percutian, peruncitan, komersial, perhotelan dan penempatan berserta infrastruktur-infrastruktur tambahan yang dapat menguatkan jalinan dan keselamatan bagi meningkatkan aktiviti-aktiviti pelancongan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri pelancongan adalah antara penyumbang terbesar ke­pada industri perkhidmatan negara apabila pelancongan memainkan peranan yang besar dalam pembangunan negara.

“Kami juga akan terus membina dan menambah baik aset-aset penting dalam menyokong aspirasi pelancongan Malaysia, serta membangunkan modal insan bagi melengkapi aset-aset tersebut. Dalam menuju ke arah pengunjung bernilai tinggi, kami akan terus meningkatkan usaha sama dan hubungan antarabangsa dengan matlamat membawa nama Sunway ke arena antarabangsa dan Malaysia secara kese­luruhannya,” katanya.

Jelasnya lagi, untuk jangka masa terdekat, Sunway mempunyai dua tahun sebelum Tahun Melawat Malaysia 2020, dan pihaknya amat komited dalam menyumbang dan membantu Ma­laysia mencapai matlamat ditetapkan.

“Untuk jangka masa panjang, Sunway akan terus membina aset, membangunkan modal insan, memelihara alam sekitar dan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa ke arah kejayaan yang berterusan dalam menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelancongan terbaik di dunia,” katanya.