Mereka ialah Naib Presiden Integriti Bank Dunia, Leonard F. McCarthy dan bekas pegawai antirasuah kerajaan Nigeria, Nuhu Ribadu.

Selain itu, sebanyak enam lagi aktivitis antirasuah menerima anugerah-anugerah lain iaitu Anugerah Inovasi Anti Rasuah, Anugerah Kreativiti Belia dan Interaksi Menentang Rasuah serta Anugerah Penyelidikan dan Pendidikan.

Pengiktirafan itu merupakan insentif dalam mempertingkatkan motivasi dan instrumen untuk mengenal pasti individu yang telah menunjukkan visi, kepimpinan, kreativiti, semangat, komitmen dan dedikasi bagi menangani rasuah.

Hadiah-hadiah kepada pemenang anugerah itu disampaikan oleh Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Yury Fedatov ketika berucap berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bersama organisasi kerajaan serta masyarakat dalam memerangi rasuah.

Jelasnya, semua pihak perlu memberi sumbangan yang proaktif dalam membantu memperbaiki situasi semasa dan menginspirasikan individu lain untuk memperjuangkan sentimen menentang rasuah.

"Rasuah memudaratkan kita semua. Ia menyebabkan banyak jenayah serta menjejaskan sumber dan warisan kita," katanya.

Sementara itu, Peguam Negara Qatar, Dr. Ali Fattais Al Marri ketika menyampaikan ucapan pada anugerah itu berkata, penganjuran anugerah seumpama itu dapat memberi mesej signifikan dalam usaha-usaha membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa di seluruh dunia.

Katanya, anugerah itu menunjukkan kepada penggiat-penggiat antirasuah seluruh dunia bahawa mereka tidak keseorangan dalam memperjuangkan agenda masing-masing.

"Kepada mereka yang memerangi rasuah, terdapat pihak yang sentiasa berada di sisi mereka, melihat serta menghargai usaha mereka dan bersama mereka," katanya.

Majlis itu dianjurkan oleh Rule of Law and Anti-Corruption Center (ROLACC), Doha Qatar dengan kerjasama UNODC.

Senarai penerima anugerah:

1. Anugerah Pencapaian Kecermerlangan dalam Membanteras Rasuah
Nuhu Ribadu (Nigeria)
Leonard F. Mc.Carthy (Afrika Selatan)

2. Anugerah Penyelidikan dan Bahan Pendidikan untuk Memerangi Rasuah
Dr. Robtel Neajai Pailey (Liberia)
Prof. Jason Sharman (United Kingdom)

3. Anugerah Inovasi Anti Rasuah
PNG Phones Against Corruption (Papua New Guinea)
Dr. Roger Oppong Koranteng (Ghana)

4. Anugerah Kreativiti Belia dan Interaksi Menentang Rasuah
Accountability Lab (Amerika Syarikat)
Fernanda Angelica Flores Aguirre (Mexico)

- UTUSAN ONLINE