Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, AHM yang diadakan sejak 2015 akan mula diadili selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh 11 panel hakim yang dilantik terdiri daripada kakitangan awam dan swasta.

Katanya, sebanyak tujuh kategori penyertaan dibuka iaitu pembudayaan hijau, projek hijau, produk hijau, inovasi hijau, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hijau dan komuniti hijau termasuk satu kategiori baharu iaitu sekolah menengah dan rendah hijau.

“Objektif utama AHM yang kita anjurkan adalah mengiktiraf mana-mana agensi termasuk institusi kerajaan dan swastayang melaksanakan amalan hijau, menggalakkan lebih banyak penglibatan agensi, membudayakan amalan teknologi hijau dan mempromosikan teknologi hijau yang dipelopori oleh Melaka.

“Pemenang bagi setiap kategori AHM akan menerima hadiah berupa sijil, trofi dan wang tunai dan majlis malam anugerah itu akan diadakan pada 14 September depan,” katanya dalam sidang akhbar sempena prapelancaran AHM 2018 di pejabatnya di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Seri Md. Yunos Husin dan timbalannya, Datuk Md. Rawi Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif PHTM, Saifuddin Abdul Karim. - UTUSAN ONLINE