Hadiah kemenangan berjumlah RM12,000 itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman sempena Program Sijil Tadbir Urus Desa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Zon Sabah dan Penyam­paian Anugerah Desa Perdana Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini hari ini.

Menurut Pengerusi JKKK Kampung Merampong, Hamid Mansari, 54, mereka sentiasa menitikberatkan aspek kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk di kampung tersebut yang berjumlah 1,446 orang.

“Kami berharap kejayaan ini da­pat meningkatkan lagi motivasi seluruh penduduk Kampung Merampong untuk terus bersa­ma-sama menjaga kebajikan kam­pung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis itu.

Tempat kedua dimenangi Kam­pung Sugiang Te­ngah, Te­nom, manakala Kampung Se­ganga, La­had Datu di tempat ketiga de­ngan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM8,000.

Hamid berkata, pihaknya me­­ngalu-alukan usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperkenalkan anugerah tersebut yang diharap­kan dapat mewujudkan kampung ceria dan kondusif bagi penduduknya.

Bekas pesara tentera berusia 54 tahun itu menambah kata, pa­ling menarik golongan belia di kampung itu turut menyertai setiap program yang disusun oleh JKKK termasuk menyumbang­kan idea yang bernas.

Bagi Juspuil Setul, 44, penganjuran Anugerah Perdana Desa itu memberi peluang kepada kampung-kampung di se­tiap negeri untuk mengubah aspek pemba­ngunan kampung supaya men­jadi lebih baik terutama dari segi kemudahan prasarana.

“Selain kebersihan dan kecantikan, kami turut memberikan pe­nekanan kepada pembangunan kemudahan setempat seperti membaiki balai raya dan dewan komuniti,” katanya.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinua, Keningau itu berkata, anugerah itu dapat menjadikan kampung-kampung di negeri ini yang dahulunya daif, berubah wajah menjadi kawasan yang le­bih indah.

Rakannya, Azizan Setul, 51, pula berkata, pihaknya turut memperkenalkan carta organisasi di kampung itu yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai tugas masing-masing.

“Kami mewujudkan lapan biro iaitu Pendidikan, Kepimpinan dan Kesetiausahaan, Teknologi Maklumat dan Informasi (ICT), Belia, Patriotik dan Kemasyarakatan, Persatuan, 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Kerjasama) dan Kemudahan Asas,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan itu sebenarnya tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama semua pihak khususnya agensi-agensi kerajaan yang memberikan banyak idea kepada penduduk kampung.

Katanya, antara agensi tersebut ialah Unit Pejabat Pemba­ngunan Masyarakat (UPPM) Ke­ningau, Jabatan Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Pertandingan Anugerah Desa Perdana itu yang disertai seba­nyak 13 negeri dan Wilayah Persekutuan, melibatkan tiga kategori utama iaitu Kampung Tradisio­nal, Kampung Orang asli dan Rumah Panjang.