Siti Nurhaliza ketika dihubungi hari ini berkata, pada tahun ini juga genap 20 tahun dia menceburi bidang seni dan anugerah yang diterima itu merupakan permulaan yang baik untuk dirinya.

“Saya tidak sangka menerima anugerah yang amat bermakna ini dan sudah pasti ia merupakan satu permulaan yang baik untuk saya lalui pada tahun ini.

“Ini merupakan antara anugerah terbesar dan amat bermakna buat saya sebagai anak seni. Saya dimaklumkan belum ada artis Malaysia yang menerima anugerah untuk kategori ini,” jelasnya.

Anugerah ini diberikan kepada Siti Nurhaliza kerana pencapaiannya dalam bidang seni suara, selain berjaya menjadi penyanyi ikon yang diterima oleh semua lapisan masyarakat tempatan.

Artis lain yang pernah menerima anugerah untuk kategori itu ialah selebriti dari Hong Kong iaitu aktor Ron Ng Cheuk Hei dan aktres Ellane Kwong.