Pengerusi sementara Mara, Datuk Dr. Yusof Yacob bagaima­na­pun tidak menjelaskan bila tarikh yang ditetapkan sebaliknya mengesahkan setakat ini, Annuar yang masih bercuti daripada jawatan itu masih belum hadir untuk melakukannya.

Walau bagaimanapun, Yusof menegaskan siasatan tersebut akan selesai tidak lama lagi dan meminta semua pihak supaya bersabar.

“Beliau sudah dipanggil tetapi belum (hadir) beri keterangan. Perkara ini akan selesai tidak lama lagi, tunggu sahaja keputusannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Usahawan Muda (YEP) Yayasan Pendidikan Mara di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Berempah di sini petang ini.

Pada Januari lalu, Annuar dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi memberi laluan kepada proses siasatan termasuk dalam isu penajaan PMB serta Universiti Kuala Lumpur (Unikl) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat khas Mara yang diadakan susulan isu ber­kenaan.

Pada 3 Februari lepas, Annuar yang juga Ahli Parlimen Kete­reh dilapor memberikan segala maklumat bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewe­ngan dan salah guna kuasa sebagai Pengerusi Mara.

Mengulas mengenai perkembangan Mara, Yusof berkata, pihaknya sedang dalam proses menjenamakan semula Yayasan Pelajaran Mara menjadi Yayasan Mara agar bantuan yang dapat diberikan lebih meluas.

Katanya, Yayasan Mara yang dijangka ditubuhkan hujung tahun ini bukan sahaja memberi tumpuan dalam soal pendidikan, malah turut melibatkan bantuan ketika berlaku bencana atau apa sahaja yang boleh disumbangkam oleh Mara kepada masyarakat.

“Selepas ini kalau berlaku bencana alam seperti banjir dan kejadian kebakaran Mara boleh hadir memberi bantuan melalui yayasan ini,” katanya.

Sementara itu, bercakap menge­nai YEP, katanya, program tersebut mendedahkan tentang nilai-nilai keusahawanan kepada para pelajar serta saluran yang perlu dimanfaatkan untuk mereka yang berazam menjadi usahawan.

Tambahnya, sebanyak 200 pelajar dari empat sekolah menengah dan 18 sekolah rendah di seluruh daerah Sipitang menerima pelbagai bantuan seperti wang tunai serta kelengkapan persekolahan yang disampaikan hari ini.