Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, ketika ini anggota bomba tersebut masih kritikal dan menerima rawatan serta pemantauan di Institut Jantung Negara di ibu negara.

“Pada pandangan saya, kalau Muhammad Adib dalam keadaan fizikal dan mentalnya kuat dia akan lebih ceria untuk melangsungkan perkahwinan.

“Kalau berkahwin sekarang, dia masih dalam hospital, sudah tentu dia akan fikirkan kesakitannya, keceriaannya juga kurang baik.

MOHAMMAD HAMDAN WAHID (tengah) dan Musa Ahmad (tiga dari kiri) bergambar selepas program Bicara Toko

MOHAMMAD HAMDAN WAHID (tengah) dan Musa Ahmad (tiga dari kiri) bergambar selepas program Bicara Tokoh di USIM di Seremban hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Bagaimanapun itu terpulang kepada keputusan keluarganya dan kalau hendak teruskan perkahwinan, kita akan beri bantuan sebaik mungkin untuk meringankan bebannya dan menguruskan majlis sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Tokoh di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dan Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis.

Kelmarin Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin rancangan Muhammad Adib untuk berkahwin pada penghujung bulan ini dapat direalisasikan susulan perkembangan positifnya ketika ini.

Muhammad Adib berada dalam keadaan kritikal selepas dibelasah perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, keadaan anggota bomba tersebut semakin baik apabila berupaya memberi isyarat bahawa dia telah sedarkan diri.

“Pemulihannya cukup menakjubkan, dia sudah memberi maklum balas sama ada dengan menganggukkan kepala dan isyarat tangan. Jantungnya juga tidak lagi bergantung kepada mesin. Walapun masih kritikal tetapi dia stabil,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE