Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, hari tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan di semua sekolah di bawah kementerian, sekolah swasta dan juga sekolah jenis kebangsaan.

“Penguasaan Bahasa Inggeris kalau boleh kita ada Hari Bahasa Inggeris, mungkin kita boleh buat pada Isnin atau Selasa yang mana semua kena cakap Bahasa Inggeris, kalau siapa tak cakap dia kena denda.

“Dan satu yang lebih penting adalah Hari Bahasa Kebangsaan. Hari itu saya mungkin akan melancarkan di peringkat nasional kita pilih hari Khamis sebagai Hari Bahasa Kebangsaan yang mana aktiviti kena dijalankan dalam bahasa Melayu melibatkan kesusateraan bahasa kebangsaan, ini amat penting untuk kita memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Jadi dua itu, kita akan adakan Hari Bahasa Inggeris dan Hari Bahasa Kebangsaan,” katanya berucap pada Majlis Alumni Sireh Pulang ke Gagang Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman (STAR) 2 di sini hari ini.

Maszlee berkata, di samping itu juga, penguasaan bahasa ketiga dan keempat juga perlu digalakkan kerana ini merupakan era Malaysia baharu iaitu meraikan kepelbagaian sekali gus menjadi sumber kekuatan rakyat. - UTUSAN ONLINE