Menurut kenyataan YTSP di sini hari ini, majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di Velodrome Darebin International Sport Centre, Melbourne, Australia, petang semalam.

Anis Amira, 19, yang merupakan anak jati Perlis, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Indera dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, Kangar turut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000.

Dalam titahnya, baginda menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan syabas kepada atlet berkenaan kerana terpilih mewakili negara dan menyifatkan pelumba itu mempunyai masa depan cerah dalam acara trek berbasikal di peringkat antarabangsa.

Baginda juga yakin Anis Amira mampu membantu skuad berbasikal trek negara meraih pingat emas dalam Temasya Sukan Sea Kuala Lumpur Ogos depan.

Tuanku Syed Faizuddin berharap pelumba tersebut berusaha gigih untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan mengikuti kejayaan pelumba kebangsaan seperti Azizulhasni, Fatehah Mustapha dan Jupha Somnet.

Dalam laman Facebooknya, Anis Amira menjunjung setinggi kasih atas kurniaan tersebut dan keprihatinan Raja Muda Perlis yang berkenan mencemar duli mengunjungi beliau di lokasi latihan.

“Anugerah ini pasti menyemarakkan semangat saya untuk memberikan aksi terbaik pada Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti,” katanya.

Antara kejayaan pelumba itu ialah memenangi pingat emas acara 2km Individu Pursuit dan 500 meter Time Trail kejohanan Lumba Basikal Trek Kebangsaan Sirkit 1 2016 di Velodrome Cheras, Kuala Lumpur serta pingat emas acara Point Race 2km Individu Pursuit, Scratch Race 200 meter Time Trail dan Keirin.

Antara ahli-ahli sukan lain anak Perlis yang menerima pingat Cemerlang YTSP ialah Bakri Ibni dan Yusri Che Lah (bola sepak), Somnet (lumba basikal) dan atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly. - BERNAMA