Hal demikian kerana perniagaan tersebut tidak melibatkan modal permulaan yang besar tetapi menawarkan potensi luas berikutan trend perniagaan food truck yang semakin popular.

Bagi membantu rakyat menceburi perniagaan, peluang itu turut disediakan Anih Berhad yang merupakan syarikat konsesi pengendali Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, sehingga kini, terdapat 10 peniaga food truck di jajaran lebuh raya kendalian syarikat berkenaan.

“Tiga peniaga adalah di Plaza Tol Karak, masing-masing dua peniaga di Plaza Tol Bentong dan Gombak serta satu peniaga di Plaza Tol Temerloh, Gambang dan R&R Temerloh Hala Barat.

“Harga sewa tapak food truck secara harian adalah RM50 manakala bulanan RM1,500,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Fauzi berkata, terdapat beberapa syarat ditetapkan syarikat konsesi itu bagi mereka yang berminat menjadi usahawan trak makanan.

“Antara syaratnya, memastikan jenis perniagaan adalah sama seperti yang didaftarkan dalam surat kebenaran menjalankan operasi perniagaan food truck dengan Anih Berhad.

“Usahawan juga perlu mematuhi kelengkapan atau peralatan kerusi meja yang telah didaftarkan dan mematuhi etika pakaian yang dibenarkan,” ujarnya..

Selain itu, kata beliau, peniaga perlu memastikan persekitaran ruang niaga sentiasa bersih dan selamat serta mempamerkan senarai harga jualan yang mudah dilihat pembeli.

“Peniaga juga perlu meletakkan food truck di ruang ditetapkan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE