Menyoroti pengalamannya menerusi video dan gambar-gambar yang diambil ketika bertugas selama enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), Catherine percaya, sebarang permasalahan atau langkah terbaik untuk kehidupan di bumi perlu diambil serta digalas bersama oleh penduduk dunia tanpa mengira mereka warganegara mana.

“Apabila saya melihat bumi dari angkasa, pemandangannya cukup menakjubkan dan ia membuatkan saya melihat sesuatu dari sudut pandangan berbeza. Saya tidak melihat sempadan-sempadan negara.

“Semasa di ISS, saya bekerja dalam kumpulan sebanyak enam orang termasuk angkasawan dari negara lain tetapi kami hidup sebagai sebuah keluarga. Jika salah seorang daripada kami tidak me­lakukan kerja, tugasan kami tidak akan selesai.

“Kami mempunyai misi yang sama walaupun memiliki kepakaran berlainan termasuk makanan yang kami sukai. Kami tidak memilih kerja yang perlu dilakukan. Kami gembira dan kadang-kadang letih. Yang pen­ting, perlu berani dan bersifat terbuka,” katanya ketika menyampaikan pembentangannya dalam Pangkor Dialog di sini hari ini.

Catherine yang berasal dari Massachusetts, Amerika Syarikat, bukan sahaja merupakan ahli kimia polimer lulusan dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Malah, beliau pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat dengan jawatan Kolonel.

Sebelum bersara pada tahun lalu, Catherine antara lain memegang jawatan sebagai Ketua Robotik di NASA.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melakukan beberapa eksperimen di angkasa termasuk menyelidiki kristal, proses pembakaran, penanaman pokok serta pelbagai aspek kesihatan, selain mengguna pakai sistem kitar semula air dan udara.

“Tahukah anda saya boleh mengalami kerapuhan tulang 10 kali ganda di angkasa lepas berbanding seorang wanita berusia 71 tahun yang mengalami osteoporosis. Oleh itu, saya perlu me­lakukan senaman.

“Di angkasa, semuanya ter­apung dan terbang, jadi ia merupakan satu cabaran walaupun kadangkala terasa menyeronokkan kerana berada di wilayah magik seperti Peter Pan.

“Saya juga mengenali angkasawan anda, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kerana pernah mengikuti latihan bersama,” katanya.

Catherine yang mengakui berasa bersalah ekoran terpaksa me­ninggalkan suami dan anak untuk menyertai misi ke angkasa, namun bersyukur komitmennya itu difahami oleh keluarganya.