Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, rangka tindakan itu akan dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan sebelum dilancarkan pada Jun ini.

“Kita menyasarkan 57 kopera­si sekolah mencapai perolehan melebihi RM1 juta setahun pada 2020.

“Angkasa juga menyasarkan peningkatan koperasi sekolah terlibat dalam bidang peruncitan iaitu daripada 40 buah kepada 300 buah dan peningkatan kepada 350 buah pembinaan kiosk daripada 35 buah pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penentu Hala Tuju Koperasi Sekolah Negeri Terengganu di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Wan Fazida Wan Awang dan Setiausaha Angkasa Terengganu, Mohamed Yusoff.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Angkasa turut me­nyasarkan peningkatan 25 buah koperasi sekolah melibatkan diri dalam bidang perniagaan maju, inap desa, solar dan pelancong­an.

“Menjelang 2020, kita juga mahu 50 buah koperasi sekolah menghasilkan produk mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai rangka tindakan itu, Angkasa akan mengadakan program latihan dan perkhidmatan untuk meningkatkan penglibatan guru secara 100 peratus dalam koperasi sekolah.

“Penglibatan 100 peratus guru dalam koperasi sekolah adalah penting untuk kita menjayakan rangka tindakan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan koperasi sekolah mewujudkan gabungan koperasi sekolah di peringkat negeri kerana jumlahnya masih kecil ketika ini iaitu tujuh buah.