Timbalan Pengerusi Angkasa negeri, Wan Mohd Zain Wan Abdullah berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan agihan zakat Angkasa seluruh negara bagi tempoh kewangan berakhir 2016 berjumlah lebih RM1.83 juta.

Beliau berkata, Angkasa telah mengagihkan zakat perniagaan kepada Maik sejak 14 tahun lalu dengan jumlah agihan meningkat setiap tahun.

"Pada tahun ini misalnya agihan zakat perniagaan Angkasa kepada Maik meningkat kepada RM82,855 berbanding RM66,877 tahun lalu.

"Selain agihan melalui majlis-majlis agama negeri, pihak Angkasa juga mempunyai saluran sendiri untuk kerja-kerja kebajikan melalui Yayasan Angkasa.

"Kita bukan sekadar memfokuskan kepada peluang membangunkan koperasi di setiap negeri tetapi juga mencari peluang untuk membantu golongan miskin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek zakat perniagaan kepada Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Yang turut hadir, Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Syariah dan Pembangunan Angkasa, Azhar Hamzah.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata, kutipan keseluruhan zakat Maik sehingga semalam mencapai lebih RM71.812 juta berbanding RM61.822 juta dalam tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 16.16 peratus. - UTUSAN ONLINE