Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini terdapat kira-kira10,000 koperasi baharu yang berdaftar dengan SKM turut mendaftar menjadi ahli Angkasa.

Bagaimanapun, tambah beliau, masih terdapat kira-kira 4,000 koperasi baharu yang belum mendaftar menjadi ahli Angkasa sekali gus pihaknya amat menggalakkan koperasi berkenaan menjadi ahli.

“Ini kerana Angkasa adalah badan induk koperasi yang telah diiktiraf oleh kerajaan dan kita mampu menjadi seperti payung yang melindungi mereka,” katanya selepas merasmikan majlis penutup kursus induksi koperasi anggota baharu Angkasa Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Abdul Fattah, beliau berharap koperasi-koperasi baharu yang masih belum mendaftar menjadi ahli Angkasa segera berbuat demikian.

Tambahnya, usaha bagi membolehkan gerakan koperasi khususnya di bawah Angkasa boleh bersama-sama menjadi penyumbang ekonomi yang berkesan kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) menjelang 2020.

“Setiap tahun Angkasa menyasarkan 2,000 koperasi menjadi ahli Angkasa dan peranan ini akan dimainkan oleh Angkasa negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi negeri ini sehingga kini terdapat 722 buah koperasi dengan keanggotaan berjumlah 126,166 orang.

“Jumlah syer untuk kesemua koperasi ini mencapai RM280 juta, aset pula sebanyak RM859.73 juta dan perolehan sebanyak RM233.25 juta,” katanya.

Tambah beliau, pada tahun lalu, Pulau Pinang berjaya menarik 18 koperasi menjadi ahli Angkasa dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini. - UTUSAN ONLINE