Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Dr. Mohd. Azlan Yahya berkata, sehingga kini ramai pihak masih tertanya-tanya mengenai kedudukan koperasi setelah nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ditukar namanya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya ada bertemu dengan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof baru-baru ini dan beliau memberitahu hal ehwal koperasi mungkin diletakkan di bawah kementeriannya.

“Bagaimanapun saya difahamkan perkara itu masih belum diputuskan sepenuhnya kerana ada juga kemungkinan hal ehwal koperasi kembali diletakkan di bahah KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pengurusan Berat Badan anjuran Angkasa di Hotel Darul Aman, Jitra di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa negeri, Wan Ibrahim Wan Jusoh serta timbalannya, Mohd. Hanizan Zalazilah.

Mengulas lanjut katanya, sebagai badan induk, Angkasa tidiak mempunyai halangan sekiranya kerajaan mahu meletakkan hal ehwal koperasi di bawah mana-mana kementerian yang dinyatakan itu kerana kedua-duanya mampu memainkan peranan penting dalam memperkasa koperasi.

“Di bawah KPDNHEP sesuai kerana koperasi di Malaysia ini banyak terlibat dengan kepenggunaan dan atas alasan itu jugalah kami diletakkan di bawah KPDNKK. Di bawah Kementerian Pembanguanan Usahwawan juga tiada masalah kerana koperasi juga banyak melibatkan usahawan.

“Terpulang kepada kerajaan. Cumanya kami berharap supaya keputusan itu dilaksanakan secepat mungkin kerana kami perlu bergerak seiring dengan polisi ditetapkan kementerian kerana perkara itu akan memberi kesan kepada gerakan koperasi,” katanya.

Sementara itu katanya, Angkasa amat berharap supaya kerajaan memberi pengiktirafan kepada koperasi untuk menerima status sebagai Industri Kecil Sederhana (SME).

“Hampir 97 peratus koperasi di neagra ini adalah dalam bentuk sederhana, kecil dan mikro. Kalau tidak diiktiraf dengan status SME, kami tidak boleh menikmati kemudahan seperti peruntukan modal perniagaan, geran dan bantuan kerajaan.

“Sehingga kini skop pembangunan koperasi itu terhad sebab kerajaan tidak melihat koperasi sebagai SME. Saya fikir pengiktirafan sedemikian perlu kerana koperasi merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE