Presiden Ang­kasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, me­lalui kerjasama tersebut pihaknya berharap dapat mening­katkan pengeluaran susu lembu keluaran koperasi memandangkan Korea Selatan adalah pengeluar susu lembu ketiga terbesar dunia.

Katanya, koperasi-koperasi ha­rus merebut peluang yang dihasratkan kerajaaan menjelang 2020 dengan sasaran pengeluaran susu meningkat daripada 67 juta liter kepada 118 juta liter setahun berbanding pengeluaran semasa sebanyak 26 juta liter yang masih jauh daripada mencukupi.

“Diharapkan kerjasama ini menjadi titik permulaan bagi pembangunan industri tenusu yang lebih produktif dan mampu meningkatkan pendapatan koperasi dalam masa yang sama dapat membantu anggota-anggota koperasi.

“Kejayaan NACF menghasilkan lembu tenusu yang menghasilkan susu melebihi 20 liter sehari bagi seekor lembu di Uganda harus menjadi pemangkin kepada Ang­kasa dan koperasi bagi memastikan projek ini berjaya dan akhir­nya memberi manfaat kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Angkasa dan NACF di sini hari ini. NACF diwakili oleh Pengerusinya, Kim Byeong Won.

Abdul Fattah berkata, melalui perjanjian tersebut, NACF akan membekalkan sperma lembu te­nusu baka baik kepada pihak Angkasa di samping kerjasama dalam bidang pembangunan ternakan.

“Bulan depan kita akan teri­ma 1,500 straw sperma daripada baka lembu Korea Selatan dan dalam satu straw terdapat 500,000 sel sperma manakala lembu induk dari Australia dan New Zealand sebanyak 220 ekor dijangka sampai pada Januari tahun depan.

“Kini pengeluaran susu dalam negara hanya sebanyak 5 peratus dan yang lain adalah susu import. Manfaat pengeluaran susu itu dijangka diperoleh kurang daripada setahun selepas sperma dan lembu disenyawakan,” katanya.