Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pindaan termasuklah untuk menetapkan kaedah baharu bagi menentukan 20 peratus jumlah perwakilan yang akan dipanggil bagi mewakili koperasi negeri masing-masing ke Persidangan Tahunan Kebangsaan Angkasa (PTKA).

“Ketika ini semua perwakilan negeri boleh menghadiri PKTA bagaimanapun, jumlah yang kian bertambah saban tahun menyebabkan lokasi persidangan tidak dapat menampung penyertaan kecuali jika ia dibuat di stadium.

“Setakat ini kita telah menerangkan hal berkaitan pindaan dalam memastikan Angkasa boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada ahli, di empat mesyuarat persidangan peringkat negeri,”katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Angkasa Terengganu di Hotel TH di sini hari ini.

Kali terakhir pindaan besar-besaran dibuat adalah pada 2010 yang memfokuskan kepada aktiviti melibatkan perniagaan.

Katanya, cadangan yang dibentangkan akan dibawa ke persidangan kebangsaan pada 12 Mei depan yang dijangka dihadiri kira-kira 7,000 perwakilan untuk diluluskan sebelum dihantar ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi dipertimbangkan.

Beliau sekali memohon agar kerajaan mengiktiraf koperasi sebagai sebuah entiti perniagaan untuk memudahkan mereka menikmati insentif seperti pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Beliau berharap cadangan itu dapat dilaksanakan dengan mengambil kira sektor koperasi antara tulang belakang negara yang turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi pada tahun lalu iaitu kira-kira RM40 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, gerakan koperasi di Malaysia mempunyai 6.5 juta ahli (di bawah lebih 13,000 koperasi) atau 44 peratus daripada kira-kira 14 juta pengundi berdaftar, dan berasaskan peranan mereka, cadangan itu wajar dipertimbangkan.-UTUSAN ONLINE