Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, mekanisma harga lantai itu penting dalam memastikan pekebun kecil dan pengusaha kelapa sawit tidak terjejas teruk serta dapat terus bergantung kepada hasil komoditi berkenaan.

“Bantuan melalui subsidi ini dapat memberi kesan besar kepada pekebun kecil dan ahli koperasi yang terjejas teruk akibat trend kejatuhan harga sawit pada masa ini.

“Seramai 650,000 ahli koperasi adalah pekebun kecil kelapa sawit dan kira-kira 50,000 individu menjadi ahli dalam koperasi yang terlibat dalam penanaman kelapa sawit,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Petanque Angkasa peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong di sini hari ini.

Trend penurunan harga kelapa sawit menimbulkan keresahan dalam kalangan peneroka Felda dan pekebun kecil apabila ada antara mereka hanya memperoleh pendapatan RM280 sebulan. - UTUSAN ONLINE