Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah tersebut diambil hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan Confederation Generale Cooperative de la R.D Congo (Coop Congo), hari ini.

‘‘Di Congo terdapat kira-kira 5,000 buah koperasi dan populasi rakyatnya berjumlah 75 juta orang. Melalui kerjasama sebegini, kita diminta membantu membangunkan Coop Congo iaitu sebuah koperasi induk yang pera­nannya sama seperti Angkasa di Malaysia.

‘‘Mereka (Coop Congo) telah menawarkan kepada Malaysia sebanyak 18,000 hektar tanah pertanian di republik itu untuk dimajukan dengan tanaman padi dan kelapa sawit. Angkasa akan bertindak sebagai agensi pembangunan tanah dan ia bakal memberikan keuntungan kepada kedua-dua negara,’’ ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis berkenaan di sini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Abdul Fattah mewakili Ang­kasa manakala Coop Congo diwakili Presidennya, Me Doudou M. Mirefu sambil disaksikan Setiausaha Eksekutif Angkasa, Mohammad Zamri Yaacob.

Tambah Abdul Fattah lagi, kerjasama itu akan mendatangkan banyak kebaikan daripada pelbagai sudut untuk kedua-dua pihak terutama melibatkan pertukaran teknologi.

‘‘Sebelum ini Angkasa melakukan kerjasama antarabangsa dengan banyak negara antaranya Korea dan Kemboja. Korea telah menyalurkan kepakaran mereka untuk membangunkan projek tenusu di Malaysia manakala di Kemboja pula kita membantu mereka dalam sektor komoditi buah-buahan dan pembangunan sosial.

‘‘Pertukaran teknologi seperti ini membolehkan kedua-dua negara maju seiring dan juga meningkatkan kerjasama antara koperasi dengan koperasi. Perkara ini sememangnya menjadi prinsip utama setiap koperasi di dunia,’’ katanya.