Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Saudi Aramco pada awalnya keberatan melabur berikutan maklumat kononnya Malaysia sebuah negara berisiko tinggi kerana situasi politik tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bankrap dan kerajaan tidak mampu membayar gaji penjawat awam.

Katanya, hanya selepas kerajaan memberi fakta sebenar bahawa Malaysia mendapat penarafan kategori A antara yang terbaik di dunia, baharulah pihak Saudi Aramco menyedari mereka mendapat maklumat salah sebelum ini.

"Rezeki yang patut datang kepada negara kita, hampir-hampir terlepas daripada tangan, itu berlaku kerana ada kalangan kita yang tiada perasaan, tiada hati perut, mereka bertujuan menggagalkan negara, motifnya politik tetapi mangsanya rakyat Malaysia nanti.

"Oleh sebab itu, kita mesti betulkan persepsi dan maklumat, supaya bukan sahaja rakyat faham tetapi gambaran dan imej negara kita akan terus diletakkan di tahap sebenarnya," katanya ketika berucap merasmikan program Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan menteri-menteri Kabinet.

Beberapa laporan media termasuk agensi media asing sebelum ini mendakwa Saudi Aramco akan membatalkan hasrat melabur di Rapid Pengerang, namun perkara tersebut ternyata meleset selepas lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia 26 Februari hingga 1 Mac lalu.

Najib melahirkan rasa kesal terhadap tindakan seorang bekas pemimpin negara yang memburuk-burukkan nama baik negara dengan mendakwa kononnya Malaysia antara 10 negara dalam dunia mempunyai masalah rasuah paling teruk.

Beliau memberitahu, sebenarnya, Malaysia berada di tangga 55 daripada senarai 160 negara dan beliau boleh menerima sekiranya teguran dibuat dengan maksud masih ada ruang untuk penambahbaikan di negara ini.

"Tetapi saya tidak boleh terima kalau mereka berbuat sedemikian tiada perasaan sama sekali hendak jatuhkan kerajaan dan imej Malaysia, kita tidak boleh biarkan perbuatan seperti ini kerana kesudahannya yang rosak adalah negara tercinta," katanya.

Najib mengingatkan juga para hadirin mengenai pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya, Semporna, Sabah pada 3 Mac 2013 yang mengakibatkan kematian dua pegawai dan empat anggota polis dengan cara yang paling kejam dan zalim.

"Mereka terkorban kerana apa, kerana ada musuh dalam selimut iaitu seorang anggota (daripada) mereka sendiri berpangkat Koperal telah memberi maklumat kepada pihak musuh. Anggota polis itu telah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun tetapi bagaimana dengan isteri kehilangan suami tercinta, anak kehilangan tempat bergantung dan di mana kita boleh ambil balik patriot kita, jawapannya kita kehilangan mereka selama-lamanya," katanya.

Tegas Perdana Menteri, semua pihak perlu menyedari rakyat tidak berdosa boleh menjadi mangsa akibat tindakan individu-individu tidak patriotik yang sanggup bersubahat dengan musuh dan tiada kasih terhadap negara sendiri.