Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, harga barangan naik ke­rana kartel bertindak memanipulasi harga bagi meraih keuntungan berlebihan.

Ahmad Zahid yang juga Pe­ngerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara berkata, perkara itu dirumuskan hasil mesyuarat yang diadakan sebanyak dua kali baru-baru ini.

“Memang benar ada kenaikan harga akibat kos pengeluaran, kos pengimportan dan tukaran wang asing kerana ketika itu nilai wang kita agak rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tetapi sekarang nilai mata wang kita telah meningkat namun kerana harga barang tidak turun-turun.

“Ertinya perkara ini akibat pe­ranan kartel atau orang tengah ini yang mahu ambil keuntungan margin yang banyak. Saya tak mahu bermusuh dengan mereka tapi saya mewakili rakyat meminta kartel atau orang tengah ini ja­ngan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa perbuatan mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan kedai serbaneka ProMart cawa­ngan Bagan Datuk dan melancarkan program Kos Sara Hidup Rakyat di Hutan Melintang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Prolink Retail Sdn Bhd., Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Zakaria; Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Menurut Ahmad Zahid, memburukkan lagi keadaan, kartel atau orang tengah bertindak menuduh dan memfitnah kerajaan yang menaikkan harga barang melalui GST bagi meracuni fikiran rakyat untuk membenci kerajaan.

“Mereka (kartel) ini dulu me­rupakan antara syarikat atau individu yang lari daripada membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Itu sebab kerajaan ambil langkah kutip cukai kutipan jualan melalui GST dan oleh kerana mereka marah dengan GST jadi mereka buat begitu.

“Saya mesti jelaskan perkara ini kerana saya tidak mahu kerajaan berterusan dilemparkan fitnah dan tohmahan sedangkan kerajaan telah membuat segala-galanya untuk bantu dan ringankan bebanan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memperbanyakkan lagi kedai serbaneka ProMart bagi menggantikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Majlis Tindakan Sara Hidup Negara telah mencadangkan kepada kerajaan supaya melantik syarikat-syarikat untuk mengendalikan lebih banyak outlet ProMart dan bukan hanya di bawah satu syarikat seperti yang dilakukan pada masa lalu,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 32 cawangan kedai ProMart berope­rasi sepenuhnya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Johor serta sebanyak 81 cawangan lagi akan dibuka pada tahun ini.