Professor Datuk Dr. Azizan Abu Samah
Professor Datuk Dr. Azizan Abu Samah

Menjelas lanjut, Pakar Oseanografi Universiti Malaya (UM), Professor Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, akibat perubahan musim berkenaan negara dijangka mengalami ribut petir dan angin kencang yang berlarutan selama 10 hingga 15 minit.

Dr. Azizan juga menyatakan, luruan udara sejuk ini juga akan mengakibatkan paras ombak di perairan negara menjadi lebih tinggi berbanding biasa dan boleh membahayakan nelayan.

Tambah beliau, penduduk di kawasan utara semenanjung pula akan mengalami tiupan angin lebih kencang berbanding lain-lain tempat di Malaysia kesan daripada kejadian taufan Maymay yang kini sedang bergerak ke utara barat laut meninggalkan Filipina.

“Kawasan yang dilanda taufan mempunyai tahap tekanan udara yang rendah dan keadaan itu akan menarik pergerakan angin sejuk ke arahnya.

“Keadaan ini yang menyebabkan tiupan angin lebih kencang berlaku di kawasan utara Malaysia yang berada lebih hampir dengan laluan taufan Maymay yang melanda Filipina awal pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Online untuk mendapatkan penjelasan mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu di dalam negara kebelakangan ini.

Menurut Dr. Azizan, orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini yang pada pandangan profesional beliau merupakan satu fenomena alam yang normal.

Pun begitu, beliau menasihatkan agar orang bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang mungkin akan berlaku kesan tiupan angin kencang dan ribut petir berkenaan.

Untuk makluman, taufan Maymay yang ketika ini dikategorikan sebagai Taufan Kategori 1 dan dijangka berubah menjadi kategori 5 Khamis depan merupakan ribut paling kencang pada tahun 2018.

Maymay yang juga dikenali sebagai taufan Jebi bermula di Lautan Pasifik di timur Guam, melanda Filipina pada awal pagi tadi dan kini sedang bergerak menuju ke arah Jepun dengan kelajuan 195 KM/J hingga 235 KM/J.

Taufan berkenaan dijangka akan melanda Jepun antara Selasa hingga Khamis ini. - UTUSAN ONLINE