Menurut baginda, institusi ketenteraan tidak boleh mengambil tindakan yang memudaratkan imej serta kewibawaannya sebagai sebuah organisasi unggul dan mulia.


"Dalam perkembangan politik masa kini, setiap anggota tentera perlu sedar perubahan sentiasa berlaku dalam apa jua keadaan.


Parti politik datang dan pergi namun institusi ketenteraan sentiasa wujud untuk mempertahankan negara, bangsa dan agama," titah baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah pada sambutan ulang tahun ke-60 peringkat rejimen tersebut di Kampung Gial, petang semalam.


Tuanku Syed Faizuddin bertitah anggota tentera hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesional.


Pada majlis itu, baginda berkenan menyempurnakan penyerahan sebuah rumah baharu kepada ibu tunggal, Azlina Othman, di Kampung Gial, Arau.


Rumah tersebut adalah inisiatif program tanggungjawab sosial korporat peserta kursus Sarjana Pengurusan Pemerintahan Pasukan siri21/2018 Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (INSPEKA) dengan kerjasama Universiti Malaya pada Mac lepas.


Kos pembinaan RM38,000 disumbangkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama usahawan Datuk Vincent Lye dan Tan Mann Chai manakala pembinaan dilaksanakan oleh anggota Rejimen Askar Jurutera diRaja.


Sempena program itu diadakan aktiviti kayuhan berbasikal 'MAIPs Peduli Menjejaki Asnaf' kali ke-42 bermula dan berakhir di Masjid Assobirin Kampung Gial.


Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan zakat sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM72,000 kepada 120 asnaf dalam kariah Oran, Padang Siding dan Mata Ayer. Setiap seorang menerima RM600. - BERNAMA