Sehubungan itu, Pengerusi Su­ruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah menyelar dakwaan tidak berasas oleh pihak tertentu mengenai terdapat empat juta pengundi pos dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang sebahagian besarnya merujuk kepada anggota Rela.

“Dalam hal ini, SPR ingin me­negaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Pe­raturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan mana-mana warganegara yang telah mendaftar sebagai pemi­lih boleh mengundi secara pos dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada ka­tegori yang ditetapkan SPR.

Katanya, kategori yang di­tetapkan sebagai pengundi pos termasuklah anggota tentera dan polis yang tidak melakukan undian awal.

Mohd. Hashim berkata, ka­tegori-kategori tambahan bagi pengundi pos adalah anggota-anggota PVR, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, Ang­katan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Pendaftaran Negara dan petugas kesihatan.

Selain itu, katanya, kemudahan undi pos diberikan kepada petugas media, petugas pilihan raya yang bertugas di luar bahagian pilihan raya mereka mendaftar, kakitangan awam dan pasangan yang bertugas di luar negara dan pelajar sepenuh masa di luar negara.

“Kemudahan pengundian pos berkenaan bukanlah secara automatik tetapi hanya tertakluk kepada anggota-anggota yang bertugas pada hari mengundi dan mendapat perakuan oleh Ketua Jabatan masing-masing,” katanya.

Mohd. Hashim berkata, jumlah sebenar anggota dalam ka­tegori yang terlibat dengan pe­ngundian secara pos itu hanya dapat diketahui secara tepat setelah permohonan itu dibuka dan diterima.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan terhadap keselamatan peti undi pos dan peti undi awal dan menafikan ko­nonnya berlaku manipulasi serta penyelewengan semasa Pilihan Ra­ya Umum ke-13 (PRU-13).

“Dalam PRU-13, pihak yang berkepentingan telah membuat petisyen pilihan raya terhadap SPR dan isu-isu yang dibangkitkan itu juga telah diputuskan oleh Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini dan tiada pembuktian sedemikian di mahkamah,’’ katanya.

Berhubung saranan supaya pe­ngiraan undi awal dibuat pada hari yang sama dengan hari pengundian itu, Mohd. Hashim berkata, SPR berpandangan ia tidak praktikal kerana akan mempengaruhi pola pengundian.