Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini kerana mereka memikul tanggungjawab berat bagi memastikan perbatasan negara tidak bocor dengan kegiatan jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya tidak akan berkompromi jika ada kes salah laku membabitkan warga pasukan itu.

“Justeru, semua komander briged PGA serta pemerintah perlu memastikan perkara ini dipatuhi pada semua peringkat pegawai dan anggota.

“Kecuaian akan memberi peluang kepada kegiatan penyeludupan, pengedaran dadah, kemasukan imigran dan lain-lain jenayah sempadan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Komander Briged Utara PGA di Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Mohd. Shahar Ibrahim yang akan bersara menyerahkan tugas kepada pemangkunya, Asisten Komisioner Mohamad Abdul Halim.

Mengulas lanjut kata Acryl Sani, ketika ini dua buah batalion PGA ditugaskan bagi mengawasi sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Padang Besar, Kedah hingga ke Rantau Panjang, Kelantan.

Menurut beliau, ia melibatkan kira-kira 4,000 orang anggota daripada Briged Utara dan Briged Tenggara PGA yang mengawal 44 buah pos sempadan.

“Sama ada bulan puasa atau hari raya, anggota PGA memang bertugas setiap masa sepanjang tahun dan hanya sejumlah kecil sahaja yang bercuti.

“Seperti juga penjenayah, mereka sentiasa mencari peluang untuk membolosi sempadan negara sekiranya anggota keselamatan cuai dan leka,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE